DAKWAH SALAF MEMECAH BELAH UMAT

Ketahuilah bahawa Dakwah Salaf itu menyeru kepada Al-Quran dan Hadis mengikut kefahaman para Sahabat radhiallahu anhum.

Mengajak Umat Islam kembali kepada Agama Islam yang tulen, tanpa tokok tambah, perubahan, penyelewengan, atau percampuran dengan apa yang bukan daripada nya.

Ia mengajak supaya Umat kembali menghayati ajaran Nabi sallalahu alaihi wassalam sebagaimana yang Baginda ajar kepada para Sahabat radhiallahu anhum.

Maka ia bukan dakwah mengikut ajaran tokoh, mazhab, aliran, tarekat ataupun kumpulan kelompok yang tertentu.

Para Ulama muktabar di sisi Manhaj Salaf adalah rujukan dan panduan buat Umat. Mereka bukan matlamat, sebaliknya mereka adalah perantara untuk Umat sampai kepada Al-Quran dan Hadis.
2 mikrophone

Kerana itu tiada sesiapa daripada kalangan Ulama dijadikan sandaran mutlak dalam menghayati Manhaj Salaf ini. Hanya Nabi sallalahu alaihi wassalam menjadi tokoh mutlaknya.

Jika dilihat dalam sejarah, ternyata pada zaman Sahabat tiada mazhab, aliran, kumpulan atau parti itu ini. Sebaliknya Sahabat bersatu di bawah bimbingan Sunnah Nabi.

Perpecahan hanya timbul kemudian dengan datangnya aliran-aliran Syiah, Khawarij, Ahli Kalam, Jahmiah, Muktazilah, Asya'irah, Maturidiah, tarekat-tarekat sufi dan yang mutakhir kumpulan seperti Ikhwan Muslimin, Jemaah Tabligh, Hizbut Tahrir dan sebagainya.

Maka apabila dilihat dari sudut inti Dakwah Salaf dan fakta sejarah perpecahan Umat, apakah benar dakwaan bahawa Dakwah Salaf penyebab perpecahan Umat?

Jelas TIDAK.

Bahkan ia satu-satunya cara untuk menyatukan Umat kembali kepada ajaran Agama Islam yang tulen.

Sebaliknya, selayaknya kumpulan-kumpulan Islam yang timbul kemudian sesudah kewafatan Nabi sallalahu alaihi wassalam dikatakan sebagai pemecah belah Umat.

Dan ia benar-benar telah memecahbelahkan Umat sehingga ke tahap seperti yang kita lihat sekarang.

Dalam masa yang sama, dari sudut lain, kita mungkin boleh bersetuju dengan mereka dengan mengatakan:

DAKWAH SALAF MEMANG MEMECAHKAN!

Ia memecahkan antara yang hak dan yang batil.

Ia membedakan antara Agama Islam yang tulen dan yang palsu.

Malah antara gelaran Rasulullah sallalahu alaihi wassalam ialah Al-Mufarriq (Yang Memecahkan) sebagaimana dijelaskan dalam hadis riwayat Imam Ahmad (no. 23810).

Demikian juga antara nama Surah dalam Al-Quran ialah: Al-Furqaan (Pembeza)

Dan Omar Al-Khattab juga dikenali sebagai Al-Faruuq yakni Yang Membezakan / Yang Memecahkan.

Barakallahu fikum.

- Ustaz Idris Sulaiman (hafidzahullah) -

Tidak ada komentar: