Biografi singkat Ustadz Rasul Bin Dahri rahimahullah

Nama penuh Ustaz Rasul ialah Rasul Bin Dahri bin Saem bin Mohsen. Ayahnya berketurunan Bugis dilahirkan di Indonesia dan ibunya berketurunan Cina lahir di Muar, Johor.

Ustaz Rasul bin Dahri dilahirkan di Singapura pada 27 Mei 1953. Beliau masih memegang kewarganegaraan Singapura, menetap di Johor Bahru, Malaysia. Dianugerahkan empat belas orang anak dan isterinya berwarganegara Malaysia dan semua mereka menetap di Malaysia.

Beliau seorang pengusaha dan peniaga selain pendakwah bebas yang berdakwah di seluruh Malaysia, Singapura, Thailand dan Indonesia. Menyebarkan dakwahnya melalui ceramah, kuliah, tulisan, kaset, cd, vcd atau internet.

Pendidikan

Bekas penuntut Madrasah al-Juned al-Islamiyah Singapura. Melanjutkan pengajian ke Madrasah al-Masyhur al-Islamiyah Pulau Pinang, Malaysia dan kemudian menyambung pengajiannya ke Ma’had al-Haram, Mekah al-Mukarramah. Belajar Bahasa Arab di Universiti King Abdul Aziz, Arab Saudi dan menuntut di Universiti Ummul Qura dalam bidang Syariah, Dakwah & Usuluddin. Beliau berada di Mekah, Arab Saudi selama sebelas tahun dari 1973 hingga tahun 1984.

Guru-Guru

Semasa di Mekah, beliau sempat bersama Syeikh Muhaddis Abu Abdirrahman Muqbil bin Hadi al-Wad’ie rahimahullah di Universiti Ummul Qura’. Sempat juga berguru dengan beberapa orang syeikh semasa mengunjungi (berada) di Mekah, iaitu sekitar musim Haji atau bulan Ramadan. Antara syeikh-syeikh yang sempat didampingi ialah as-Syeikh Abdul Aziz bin Baz rahimahullah dan as-Syeikh Soleh Fauzan al-Fauzan hafizhullah.

Semasa di mekah beliau telah menimba ilmu dan bertalaqqi dari beberapa masyaeikh.
Untuk pengetahuan para pembaca yang dimuliakan Allah ‎ﷻ, Ada di antara mereka mendorong, memberi semangat dan berwasiat atau berpesan agar saya berdakwah dengan tulisan serta menterjemahkan kitab-kitab turath dan kitab-kitab tulisan para ulama Salaf as-Soleh disamping berdakwah dengan cara mengajar, berceramah atau berdakwah dengan lisan. 

Pesanan para masayeikh tersebut kini telah direalisasikan dan akan terus diusahakan dengan sedaya upaya yang termampu, terutamanya setelah sekian lama pulang ke tanah air. Alhamdulillah, Ustaz Rasul bin Dahri dapat meneruskan dakwah yang InshaAllah akan terus kelal dan berpanjangan iaitu berdakwah melalui tulisan, menghasilkan buku-buku, makalah dan seumpamanya dengan menggunakan bahasa yang mudah difahami oleh umat. 

Dengan keberkatan ilmu dan nasihat daripada para masayeikh yang ikhlas dan juga dengan inayah Allah ‎ﷻ, kini Ustaz Rasul Dahri mampu dan telah menghasilkan beberapa buah buku tulisan yang telah tersebar luas di Singapura, Malaysia, Brunei, Thailand dan Indonesia dengan sambutan yang amat menggalakkan. Para masayeikh ang mendorong, memberi motivasi dan berpesan supaya beliau berdakwah dengan tulisan selain lisan, mereka ialah:

1. Syeikh Abdulrahman al-Habannakah al-Maidani rahimahullah ketika penulis menuntut di Universiti Ummul Qura, Mekah, Arab Saudi. 

2. Syeikh Muhammad Soleh al-Uthaimin rahimahullah, ketika penulis bertemu dengannya di majlis ilmu di musim haji dan di musim panas di Mekah al-Mukarramah. 

3. Syeikh Muhammad Nasirudin al-Albani rahimahullah, semasa Ustaz Rasul Dahri bertanya dan meminta pendapat daripada beliau tentang penulisan kitab, maka beliau rahimahullah berpesan dan menasihatkan agar terus berdakwah dengan dakwah yang kekal, iaitu dengan berusaha menghasilkan kitab-kitab (buku atau tulisan) dengan harapan dapat menyelamatkan umat daripada kesesatan, penipuan syaitan dan perangkap iblis. Pesanan ini diberikan semasa Ustaz Rasul Dahri sempat bertanyakan kepadanya dalam sebuah majlis ilmu di musim haji di Dewan Rabitah al-Alam al-Islami, Mekah, Arab Saudi. 

4. Syeikh Muhammad Gazali rahimahullah, ketika beliau menjadi pensyarah di Universiti Ummul Qura, penulis sempat berbual-bual di pejabatnya meminta pendapat dan pandangannya berkaitan penulisan dimana beliau sangat menggalakkan agar menterjemahkan beberapa buah buku-bukunya dan terus menerus menghasilkan tulisan yang termampu. 

5. Syeikh Rabi' al-Madkhali hafidzahullah, beliau mengambil PhD. (ketika itu) di Universiti Ummul Qura dan Ustaz Rasul Dahri sering bersamanya di perpustakaan universiti dan di majlis-majlis ilmu yang diadakannya dan juga semasa rehlah saifiyah. Beliau juga menggalakkan dan menunjuk ajar tatacara penulisan dan bagaimana menghasilkan tulisan yang ilmiyah. 

6. Asy-Syeikh al-Muhaddis Abu Abdirrahman Muqbil bin Hadi al-Wadi'i rahimahullah, iaitu sebelum beliau meninggalkan Mekah terusir kerana fitnah yang dicetuskan oleh mereka-mereka yang hasudi atau bersifat hasad dan dengki terhadap ketegasan beliau menghadapi pelaku syirik dan bid'ah. Ustaz Rasul Dahri pernah menuntut bersama beliau di Ma'had yang selama setahun iaitu Ma'had al-Haram al-Makki, Mekah. Kemudian beliau melanjutkan pelajarannya ke Universiti Islam Madinah, Arab Saudi sehingga memperolehi ijazah PhD. 

Semoga semua para masyaikh (syeikh-syeikh) semasa belajar di Mekah al-Mukarramah (Arab Saudi), guru-guru di Singapura semasa belajar di Madrasah al-Juned al-Islamiyah dan guru-guru di Madrasah al-Masyhur semasa belajar di Pulau Pinang, Malaysia dimohonkan oleh Allah anugerah syurga Firdaus dan semoga mereka semua sentiasa di dalam rahmat Allah serta diluaskan kubur mereka bagi mereka yang telah pulang ke rahmatullah.

Hanya kepada Allah sahaja kita memohon semoga Dia sentiasa memelihara keberkatan ilmu yang telah dianugerahkan kepada hamba-Nya dan pahala serta keampunan kepada mereka yang menyampaikan ilmu-ilmu mereka dengan penuh keikhlasan. Amin Ya Rabbil ‘alamin.

Tidak ada komentar: